Rabu, 4 April 2012

ADAB BERSAHABAT...


Seorang sahabat mestilah menjaga adab-adab terhadap sahabatnya, iaitu :

1. Mengutamakan sahabat dengan harta bendanya. Jikalau ia tidak kuasa berbuat demikian maka sekurangnya hendaklah ia memberikan kepada sahabatnya apa-apa yang lebih dari hajat dirinya.

2. Menolong sahabat dengan diri pada segala hajatnya dengan cara bersegera, sebelum brkehendak sahabatnya bahawa ia meminta tolong akan dia.

3. Menyembunyikan rahsia sahabatnya.

4. Menutup keaiban sahabatnya.

5. Berdiam daripada menyampaikan perkata orang lain yang mencela sahabatnya.

6. Menyampaikan segala perkataan orang lain yang memuji akan sahabatnya.

7. Mendengarkan dengan baik akan perkataan sahabat ketika ia bercakap-cakap.

8. Meninggalkan berbantah dengan sahabatnya.

9. Memanggil sahabatnya dengan nama yang terlebih disukainya.

10. Memuji sahabatnya dengan apa yang diketahui daripada kebaikannya.

11. Berterima kasih kepada sahabatnya atas sebarang kebaikannya.

12. Menegahkan orang lain apabila ia mahu mengumpat sahabatnya seperti ia membela dirinya sendiri.

13. Memberi nasihat dengan cara yang lemah lembut dan bahasa yang halus apabila ia berkehendak menasihati sahabatnya.

14. Memaafkan daripada sebarang kesilapan dan kesalahan sahabatnya, maka janganlah ia mencelanya.

15. Mendoakan sahabatnya apabila ia duduk bersendirian, ketika sahabatnya itu masih hidup atau pun setelah ia mati.

16. Mengekalkan kecintaan terhadap keluarga sahabat selepas daripada kematian sahabatnya.

17. Jangan suka memberatkan sahabatnya dengan bebanan dan tanggungjawab, bahkan hendak ia meringankan daripadanya supaya ia sentiasa senang hati kepadanya.

18. Menyatakan rasa kesukaan dengan segala yang menyukakan hati sahabatnya dan juga menyatakan rasa kesusahan pada segala yang menyusahkan hati sahabatnya.

19. Menyamakan antara hakikat kecintaan yang wujud di dalam hati dengan apa yang nampak di luar, maka dengan itu barulah kecintaan itu dianggap benar.

20. Memulakan memberi salam ketika ia menemui sahabatnya.

21. Meluaskan tempat duduk kepada sahabatnya ketika ia masuk ke dalam majlis dan hendaklah ia berpindah daripada tempat duduknya itu ke tempat yang lain ketika ia tidak dapat berbuat demikian.

22. Hendaklah ia bangkit menghantar sahabatnya itu ( sehingga sampai ke pintu rumahnya ) ketika ia keluar dari rumahnya.

23. Hendaklah ia berdiam ketika sahabatnya bercakap-cakap sehingga ia selesai daripada percakapannya dan janganlah ia suka mencelah ketika sahabatnya sedang barcakap-cakap.

Ringkas kata, hendaklah seorang sahabat itu bermuamalah atau bergaul dengan sahabatnya seperti cara yang ia sukai orang lain bermuamalah dengannya. Maka sesiapa yang tidak mencintai untuk sahabatnya akan sesuatu yang ia cintai bagi dirinya sendiri, maka persahabatan masih tidak ikhlas dan masih mempunyai anasir-anasir munafik dan persahabatan itu akan membawa kepada kebinasaan di dunia dan di akhirat. Maka inilah adab-adab yang mesti engkau jaga pada hak saudaramu yang engkau jadi sahabat akan dia.

1 ulasan:

Terdapat ralat dalam alat ini
Related Posts with Thumbnails