Guru zaman dahulu amat dihormati oleh masyarakat. Mereka dihormati kerana mereka boleh dipercayai. Mereka dipercayai kerana mereka ikhlas.
Apabila mereka dihormati maka mereka menonjol menjadi seorang manusia yang hebat.
Ternyata, keikhlasan merupakan sifat yang amat penting dalam hidup. Keihlasan tidak perlu didendangkan. Ianya satu kemestian jika kita ingin bahagia dalam hidup. Ramai yang mengatakan diri mereka ikhlas dalam melakukan satu-satu perkara. Apabila mereka menyebut tentang keikhlasan mereka, sebenarnya mereka telah meruntuhkan nilai ikhlas itu sendiri. Keikhlasan bermaksud melakukan sesuatu perkara dalam keadaan yang penuh kesedaran dan tanggungjawab.
Manusia yang menerima sumber ikhlas dari kita pasti dapat merasainya. Apatah lagi sebagai seorang guru dengan tanggungjawab yang amat berat. Hanya keikhlasan yang menjadi ubat kepada kesukaran kita. Tidak perlu kita merungut tentang tanggungjawab yang berat kerana ia tidak akan mengurangkan beban tersebut.
Hanya diri kita sendiri yang dapat membentuk keikhlasan tersebut. Tidak boleh dipaksa. Mungkin selama ini kita merasakan bahawa kita telah cukup ikhlas tetapi renungkanlah kembali hari-hari yang kita lalui. Apakah kita benar-benar ikhlas dengan pemberian kita. Apakah ilmu yang kita sampaikan kepada pelajar benar-benar datang dari niat hati yang ikhlas untuk menjadikan pelajar kita benar-benar menguasai ilmu tersebut.
Memang kita tidak kaya harta dengan menjadi seorang guru. Tetapi kita merupakan golongan yang paling banyak memberi. Apabila kita memberi dengan sebanyak-banyaknya dengan penuh keikhlasan maka kita akan kaya dengan kepuasan.
Marilah kita memulakan episod baru dengan penuh keikhlasan. Semoga kita akan mendapat nikmat yang tidak terhingga dan seterusnya menjadi manusia yang hebat. Janganlah kita mengharap sanjungan kerana ianya akan meruntuhkan nilai keikhlasan tersebut.
Sewaktu kita hidup, marilah kita memberi sebanyak-banyak yang kita mampu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan